Saturday 20 June 2015

Masjid Hidayatul Ummah, Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar


MASJID HIDAYATUL UMMAH, KOTA LAMA KIRI


sewaktu majid ini dirasmikan oleh sultan perak terkini (Sultan nazrin )
dewan solat yg agak luas 



Masjid Kota Lama Kanan , perak





LATAR BELAKANG

Sultan Mansur Syah I (1549-1577), Sultan Perak ke 2[1]

Sultan Mansur Syah telah diputerakan di Bentan, Riau, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Melaka. Apabila Sultan Mudzaffar Syah pertama mangkat pada tahun 1549 di Tanah Abang (Telok Bakang), Lambor, Daerah Perak Tengah, Baginda Sultan Mansur Syah dilantik menjadi Sultan Perak yang kedua. Baginda kemudian berpindah bersemayam di Kampung Kan Kong (Kota Lama Kanan), Kuala Kangsar, di tepi Sungai Perak.

HUBUNGAN DENGAN SIAM

Sultan Mansur Syah dengan diiringi oleh Bendahara Megat Terawis telah mudik ke Ulu Perak dan menetapkan di sebelah utara Negeri Perak dengan Negeri Reman (Siam). Sempadan itu bertandakan sebuah batu bernama Tapong yang dijadikan sempadan dan dinamakan Batu Belah, kerana kononnya batu itu boleh dibelah oleh Baginda dengan pedang Baginda sendiri. Perjanjian itu telah dipersetujui oleh Raja Negeri Reman hingga ke ahkir tahun masehi yang ke-18.

Hasil daripada bijih timah, Kerajaan Perak menjadi kaya. Orang-orang Siam menyerang mengakibatkan kekalahan di pihak Negeri Perak dan Pemantu Baginda Raja Ali terus terbunuh. Negeri Perak terpaksa menghantar Bunga Emas pada tiap-tiap tahun kepada Kerajaan Negeri Siam sebagai ufti dan membenarkan mereka membeli timah sebarang cukai.

HUBUNGAN DENGAN ACEH

MENGIKUT SEJARAH ACHEH: Sultan Husain Ali Riayat Syah pemerintah Acheh telah dikatakan menyerang Perak lalu mengalahkannya dan dibawa ke Acheh. Putera Sulung Baginda yang bernama Raja Alauddin dikahwinkan dengan puteri Acheh bernama Raja Puteri dan kemudiannya diangkat menjadi Sultan Acheh. Setelah itu Kerajaan Acheh menghantar Sultan Mansur Syah menduduki Takhta Kerajaan Negeri Perak yang menjadi takluk Kerajaan Acheh.

MENGIKUT SEJARAH RAJA-RAJA PERAK: Sultan Mansur Syah dan isteri serta puteranya tidak ditawan oleh Acheh melainkan Putera Sulung Baginda sahaja dibawa ke Acheh menjadi Sultan Acheh. Kemudian barulah Sultan Acheh menghantar orang-orangnya ke Negeri Perak mengambil Baginda Sultan Mansur Syah dan isteri. Tetapi sebelum Sultan Mansur Syah dibawa ke Acheh, Baginda terus beristerikan anak seorang Batin (Ketua Orang Asli) di Kuala Kinta dan daripada keturunan anak Baginda dengan perempuan orang asli itulah kononnya lahir "Panglima Kinta", Orang Besar Perak di Daerah Kinta.

MANGKAT

Sultan Mansur Syah telah mangkat di Negeri Perak pada tahun 1577. Kemangkatan Baginda tidak diketahui dengan sahnya. Mengikut cerita Baginda sedang Bersembahyang Jumaat di Masjid Kota Lama Kanan, tiba-tiba Baginda ghaib dan rakyat pun menyangkakan Baginda telah Mangkat. Baginda digelar Marhum Kota Lama Kanan.

Sultan Mansur Syah tidak mempunyai makam melainkan Batu Peringatan Sultan Mansur Shah yang terletak di Masjid Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar. Batu Peringatan ini merupakan sebuah nisan yang dipasang dengan perintah Sultan Idris Murshidul 'Aadzam Syah bagi memperingati Sultan Mansur Syah yang hilang ketika menunaikan fardhu Jumaat di masjid itu. Masjid Kota Lama Kanan dibina semula dalam tahun 1916 menggantikan masjid yang asal yang telah dibakar oleh Penjajah Inggeris semasa berlaku Perang Perak dalam tahun 1875-1876.

Masjid Ridzuaniah Kuala Kangsar




Masjid Rizuaniah dibina dalam tahun 1915 di zaman Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Murshidul'adzam Shah,(1887-1916) Sultan Perak yang ke-28. Pembinaannya didirikan di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh Al Mahrum Sultan Idris Shah I. Pada ketika itu semua urusan perbelanjaan pembinaan masjid adalah di bawah sumber daripada wang wakaf Sultan Idris Shah I sendiri. Manakala urusan menyelenggarakan masjid ini adalah dikelolakan oleh satu Badan yang dinamakan 'Sultan Idris Religious and Charitable Trust'.

Rekabentuk asal masjid ini mengandungi ruang sembahyang yang berbentuk lapan empat segi dan sebuah kubah di tengahnya. Semenjak ia dibina, Masjid Ridzuaniah telah mengalami beberapa pindaan dari segi struktur bangunannya. Semasa zaman Al Marhum Sultan Iskandar, hanya diperbesarkan bagi menampung bilangan jemaah yang bertambah. Ketika itu masjid ini dapat memuatkan kira-kira 600 orang jemaah sahaja. Manakala pada zaman pemerintahan Sultan Idris Shah II pembesaran  masjid ini dilakukan lagi. Sehingga pada tahun 1968 masjid ini dapat menampung kira-kira 1,000 orang jemaah di sekitar Pekan Kuala Kangsar.

Pada tahun 1980-1981 Masjid Ridzuaniah telah bertukar daripada bangunan yang asal ke bangunan baru. Pembinaan masjid baru ini adalah semata-mata untuk memberi keselesaan kepada masyarakat Islam di daerah Kuala Kangsar menunaikan ibadah. Ini adalah kerana bangunan maasjid yang asal tidak dapat menampung bilangan penduduk yang kian meningkat.

Masjid Ridzuaniah hari ini merupakan masjid yang istimewa berbanding dengan masjid yang lain di daerah Kuala Kangsar. Ianya mempunyai beberapa kemudahan seperti mempunyai bilik mesyuarat, Pejabat dan juga kemudahan-kemudahan yang lain. Oleh kerana keistimewaan tersebut dan masjid ini merupakan masjid yang terbesar di daerah Kuala Kangsar, ianya telah dijadikan Masjid Daerah yang dikelolakan oleh Kerajaan Negeri.


mimbar 


Masjid Ubudiah, Perak


Masjid Ubudiah, kadang kala dikenali sebagai Masjid Diraja Ubudiah ialah sebuah masjid negeri di Bukit Chandan, Kuala KangsarPerak yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia dan merupakan simbol kebanggaan dan kepercayaan untuk kaum Muslim di Perak. Kubah emas dan menara masjid adalah bukti dari keindahan senibina Islam. Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.

Sejarah

Dari segi latar belakang sejarahnya Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah ini, adalah merupakan masjid nazar. Ia diasaskan oleh Sultan Idris untuk membayar nazar kerana baginda telah pulih dari penyakitnya. Semasa beristirahat dalam rawatan di Port Dickson, Negeri Sembilan, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah 1 (1887-1916) telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya kesihatan baginda pulih.

Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, baginda telah menitah Kolonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur, untuk mereka bentuk sebuah masjid yang hendak didirikan. Pembangunan Masjid Ubudiah bermula dari zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, Sultan Perak ke-28.
Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Negara Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan baginda dan Raja (Sir) Chulan Ibni Sultan Abdullah. Mengikut cerita dengan tidak semena-mena seekor gajah baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa'id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaan Raja Chulan bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok.
Perjuangan gajah itu telah melarat ke tempat simpanan batu marmar tersebut dan akibatnya, musnahlah batu marmar itu. Perjuangan gajah itu telah berlanjutan hingga berjam-jam lamanya, sehingga Raja Chulan sendiri datang, menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang, walaupun telah ramai orang yang cuba meleraikan gajah itu tetapi tidak berhasil.
Oleh sebab batu marmar itu telah musnah, maka terpaksalah dipesan semula dari Negara Itali. Tetapi malangnya, batu marmar yang dipesan itu telah lambat sampai oleh kerana cetusan Peperangan Dunia Pertama di Eropah. Batu marmar itu telah dibawa melalui Negara Afrika Selatan. Perbelanjaan pembinaan masjid ini adalah kira-kira $22,000.00.
Pada hari Jumaat, 26 September 1913, Sultan Idris Shah I, telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918.), Sultan yang ke-29, pada tahun 1917.

Arkitek

Arkitek yang ditugaskan mereka bentuk masjid ini ialah Encik Hubbeck, yang menggunakan seni reka Moor dan Encik Caulfield, jurutera Negeri Perak, telah ditugas melaksanakan bangunan masjid ini. Seni reka yang diilhamkan oleh Encik Hubbeck telah menjadi Masjid Ubudiah salah satu masjid yang mempunyai nilai seni reka yang bermutu tinggi sehingga ia mendapat tempat dalam peta pelancongan Malaysia.

Reka bentuk

Dari segi reka bentuk ia juga amat menarik. Pelannya telah disediakan oleh Pereka bentuk Kerajaan Negeri-Negeri Melayu, Arthur Benison Hubback dibawah penyeliaan W. S. Huxley. Ia berbentuk octagon dan mempunyai 4 buah menara setinggi 126 kaki serta dikelilingi oleh kubah-kubah di bahagian dalam yang mana tiap-tiap satu garis pusatnya berukuran sepanjang 60 kaki. Bahagian-bahagian dalam dinding dan lantai masjid ini menggunakan batu marmar berwarna merah dan putih yang dibawa khas dari Itali dan London.
Bentuk dinding masjid ini memperlihatkan sebuah bangunan berkubah induk besar di tengahnya serta dikelilingi dengan empat buah anjung yang mengandungi sebuah kubah pada pertengahan setiap anjung, lapan buah menara induk dan enam belas menara apit. Jumlah kubah dan menara dikatakan mengambil sempena aturan gelaran Orang Besar-Besar iaitu Orang Besar Ampat, Orang Besar de-lapan dan Orang Besar Enam Belas. Keluasan ruang induknya ialah 20 m x 20 m dan dilingkungi oleh serambi utama selebar 2.5 m yang juga mempunyai sebuah kubah. Sebuah kolah untuk mengambil air sembahyang terletak di sisi timur serambi tersebut.

Masjid Diraja

Sebelum Masjid Sultan ldris Shah II di Ipoh dibina dan dijadikan Masjid Negeri pada 15 November 1968, maka Masjid Ubudiah adalah Masjid Negeri Perak. Masjid Ubudiah sekarang dikenali sebagai Masjid Diraja dan ditadbirkan oleh suatu Jawatankuasa Tadbir Masjid Ubudiah dan dipengerusikan oleh sesiapa yang dilantik oleh Paduka Seri Sultan biasanya penyandang jawatan Orang Kaya Temenggong Paduka Raja mahtlpun jawatan Orang Kaya-kaya Setia Bijaya Diraja dan jawatan Setiausaha diuruskan oleh seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat di Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak (Darul Ridzuan).

Untuk mengetahui lagi sejarah tentang masjid ini, klik dan lihat lebih dekat gambar di atas.
masjid ini ada 4 menara azan ,8 menara kecil dan 1 kubah besar warna emas,
mimbar