Saturday 20 June 2015

Masjid Kota Lama Kanan , perak





LATAR BELAKANG

Sultan Mansur Syah I (1549-1577), Sultan Perak ke 2[1]

Sultan Mansur Syah telah diputerakan di Bentan, Riau, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Melaka. Apabila Sultan Mudzaffar Syah pertama mangkat pada tahun 1549 di Tanah Abang (Telok Bakang), Lambor, Daerah Perak Tengah, Baginda Sultan Mansur Syah dilantik menjadi Sultan Perak yang kedua. Baginda kemudian berpindah bersemayam di Kampung Kan Kong (Kota Lama Kanan), Kuala Kangsar, di tepi Sungai Perak.

HUBUNGAN DENGAN SIAM

Sultan Mansur Syah dengan diiringi oleh Bendahara Megat Terawis telah mudik ke Ulu Perak dan menetapkan di sebelah utara Negeri Perak dengan Negeri Reman (Siam). Sempadan itu bertandakan sebuah batu bernama Tapong yang dijadikan sempadan dan dinamakan Batu Belah, kerana kononnya batu itu boleh dibelah oleh Baginda dengan pedang Baginda sendiri. Perjanjian itu telah dipersetujui oleh Raja Negeri Reman hingga ke ahkir tahun masehi yang ke-18.

Hasil daripada bijih timah, Kerajaan Perak menjadi kaya. Orang-orang Siam menyerang mengakibatkan kekalahan di pihak Negeri Perak dan Pemantu Baginda Raja Ali terus terbunuh. Negeri Perak terpaksa menghantar Bunga Emas pada tiap-tiap tahun kepada Kerajaan Negeri Siam sebagai ufti dan membenarkan mereka membeli timah sebarang cukai.

HUBUNGAN DENGAN ACEH

MENGIKUT SEJARAH ACHEH: Sultan Husain Ali Riayat Syah pemerintah Acheh telah dikatakan menyerang Perak lalu mengalahkannya dan dibawa ke Acheh. Putera Sulung Baginda yang bernama Raja Alauddin dikahwinkan dengan puteri Acheh bernama Raja Puteri dan kemudiannya diangkat menjadi Sultan Acheh. Setelah itu Kerajaan Acheh menghantar Sultan Mansur Syah menduduki Takhta Kerajaan Negeri Perak yang menjadi takluk Kerajaan Acheh.

MENGIKUT SEJARAH RAJA-RAJA PERAK: Sultan Mansur Syah dan isteri serta puteranya tidak ditawan oleh Acheh melainkan Putera Sulung Baginda sahaja dibawa ke Acheh menjadi Sultan Acheh. Kemudian barulah Sultan Acheh menghantar orang-orangnya ke Negeri Perak mengambil Baginda Sultan Mansur Syah dan isteri. Tetapi sebelum Sultan Mansur Syah dibawa ke Acheh, Baginda terus beristerikan anak seorang Batin (Ketua Orang Asli) di Kuala Kinta dan daripada keturunan anak Baginda dengan perempuan orang asli itulah kononnya lahir "Panglima Kinta", Orang Besar Perak di Daerah Kinta.

MANGKAT

Sultan Mansur Syah telah mangkat di Negeri Perak pada tahun 1577. Kemangkatan Baginda tidak diketahui dengan sahnya. Mengikut cerita Baginda sedang Bersembahyang Jumaat di Masjid Kota Lama Kanan, tiba-tiba Baginda ghaib dan rakyat pun menyangkakan Baginda telah Mangkat. Baginda digelar Marhum Kota Lama Kanan.

Sultan Mansur Syah tidak mempunyai makam melainkan Batu Peringatan Sultan Mansur Shah yang terletak di Masjid Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar. Batu Peringatan ini merupakan sebuah nisan yang dipasang dengan perintah Sultan Idris Murshidul 'Aadzam Syah bagi memperingati Sultan Mansur Syah yang hilang ketika menunaikan fardhu Jumaat di masjid itu. Masjid Kota Lama Kanan dibina semula dalam tahun 1916 menggantikan masjid yang asal yang telah dibakar oleh Penjajah Inggeris semasa berlaku Perang Perak dalam tahun 1875-1876.

No comments:

Post a Comment